wasssup?

Lilypie Angel and Memorial tickers Daisypath Friendship tickers

Wednesday, May 25, 2011

SUKA DUKA PERJALANAN HIDUPKU



Termenung jauh aku mengenangkan kisah hidupku yang telah lalu. Berbagai perasaan timbul dalam diri ini. Sedih, hiba, gembira dan lucu dengan kehidupan bergelar insan di muka bumi yang penuh pancaroba. Ungkapan bidalan yang mengatakan ‘hidup ini penuh berliku’ memang betul. Hanya orang yang mengalaminya sahaja boleh merasai seperti mana aku merasainya.


Sesungguhnya memang aku tidak menyangkakan apa yang telah tersurat ke atas diriku ini. Ku sangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan ditengahari. Kebahagiaan yang aku kecapi bersama suami sebelum ini tidak dapat bertahan lama. Pada saat aku diceraikan aku merasakan dunia ini gelap gelita. Aku tidak dapat memikirkan apa yang harus aku lakukan di saat itu. Lantas aku berdoa kepada Allah s.w.t agar memberi sedikit kekuatan untuk aku meneruskan hidup dan memberi rezeki untuk mencari sesuap nasi demi membesarkan anak-anakku. Alhamdulillah, tatkala aku dalam bersedih, Allah s.w.t telah menyedarkan aku bahawa tidak selamanya aku harus bersedih, aku redha jika Qada dan Qadar mengatakan jodoh aku bersama suami tidak panjang.


Perpisahan ini sedikit sebanyak telah membuatkan anak-anakku turut merasai penderitaanya. Masih ku ingat lagi anakku yang sulung baru sahaja menjejakkan kaki di sebuah IPTA, setelah beliau di maklumkan tentang berita yang menyedihkan ini, beliau menjadi murung dan tidak bersemangat untuk memberi tumpuan kepada pembelajaranya. Akibatnya beliau telah mengambil keputusan untuk berhenti dari belajar di IPTA tersebut dengan alasan ingin bekerja untuk membantu aku dan adik-adiknya yang masih bersekolah. Ibu mana yang sanggup melihat anaknya berhenti dari belajar tetapi apakan daya aku di saat itu, akibat terlalu tertekan mengenangkan kesusahanku kerana tidak dapat untuk membiayai pembelajaran, aku menuruti kehendaknya. Aku yang pada masa itu hanya bekerja sebagai jurujual di sebuah syarikat elektrik hanya mampu perolehi pendapatan yang tidak seberapa mungkin agak sukar bagiku untuk menampung makan dan minum kami sekeluarga. Keadaan ku pada waktu itu ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ akhirnya aku membuat keputusan untuk membuat kerja sambilan di sebuah kedai makan pada waktu malam. Walau sesukarmanapun aku terpaksa gagahkan diri mencari rezeki untuk anak-anakku. Pernah satu malam yang tidak disangkakan, aku telah di uji oleh Allah s.w.t., sedang aku menunggang motosikal yang diberi pinjam oleh majikanku, aku menyusuri jalan di tepian perkuburan, tiba-tiba aku terpandang kelibat lembaga yang memakai pakaian serba putih di situ. Aku menyangkakan itu mungkin orang yang ingin ke masjid menunaikan solat tetapi melihatkan kepada keaadaan di sekeliling yang dingin, gelap gelita dan sunyi sepi manakala jam di tangan yang menunjukkan pukul 2.00 pagi agak mustahil. Hanya Allah s.w.t yang tahu bagaimana perasaan aku waktu itu. Sepanjang aku bekerja di kedai makan, itulah kali pertama aku di uji dengan peristiwa yang begitu. Sejak peristiwa itu berlaku, anakku yang kedua menjadi peneman aku bekerja di waktu malam. Itupun disebabkan beliau telah tamat persekolahan dan sedang menunggu keputusan SPM di umumkan. Disamping itu juga dapatlah beliau menambah sumber rezeki dan mencari pengalaman dengan turut bekerja di situ.


Peristiwa hitam yang menyedihkan itu telah berlalu hari demi hari, minggu demi minggu. Alhamdullillah aku kini dapat menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal seperti biasa. Anak sulungku kini telah mendapat perkerjaan di pekan kecil tempat kami tinggal. Walaupun upah yang diberikan tidak seberapa, namun cukuplah untuk kami anak beranak meneruskan hidup. Kesusahanku ini telah diketahui oleh keluargaku yang menetap di Selangor. Mereka menasihati aku untuk berpindah ke sana, namun agak keberatan bagi ku kerana memikirkan bagaimana kehidupan kami di tempat yang agak asing. Berhari-hari dan berminggu-minggu aku memikirkan perkara ini, akhirnya dengan berkat doa aku mendapat satu petunjuk untuk meminta pertolongan dari abang ku mencarikan pekerjaan tetap dalam sektor awam untuk anak sulungku. Alhamdullillah, dengan berbekalkan keputusan SPM yang agak memberangsangkan serta berkat doa yang tidak henti-henti, akhirnya satu perkhabaran yang gembira telah disampaikan oleh abangku. Anakku kini telah berjaya mendapat pekerjaan dalam sektor awam di Selangor. Walaupun pendapatan yang diterima tidak seberapa namun aku sangat berterima kasih dan bersyukur kerana Allah s.w.t telah memakbulkan doa ku.

Setelah beberapa bulan anak ku bekerja dan menetap di Selangor, sekali lagi keluargaku memujuk aku untuk berpindah ke sana. Memandangkan pada masa itu anak sulungku telah bekerja, akhirnya aku telah bersetuju untuk berhijrah. Faktor-faktor yang membuat aku bersetuju untuk berhijrah adalah di sebabkan aku ingin memulakan hidup baru walaupun aku tahu aku akan kehilangan punca rezeki untuk menyara anak-anak ku yang lain. Berbekal kan keazaman yang tinggi untuk meneruskan kehidupan, aku cekal dan tabahkan hati membuat persiapan untuk berhijrah ke sana. Anak-anakku yang lain turut membantu aku mengemas. Dari riak wajah sugul masing-masing aku tahu mereka turut merasa kesedihan dengan apa yang berlaku. Mereka sedih untuk berpisah dengan kawan-kawan yang rapat sejak dari kecil lagi tetapi apakan daya ku untuk mengubah takdir ilahi. Aku hanya mampu menasihati anak-anak ku agar bersabar, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.


Kini aku telah berhijrah ke Selangor dan tinggal bersama-sama anak sulung ku. Sekali lagi aku di uji oleh Allah s.w.t di mana selama tiga bulan aku menetap di sini tanpa sebarang pekerjaan dan selama itulah anak-anak ku yang lain tidak bersekolah kerana aku tidak mempunyai sumber pendapatan untuk menyekolahkan mereka. Sejak awal perpisahan hingga ke hari ini, bekas suami langsung tidak memberi nafkah untuk anak-anak ku. Hanya mengharapkan pendapatan anak sulungku yang tidak seberapa itulah di gunakan untuk membayar sewa rumah sebanyak RM350 sebulan, membayar bil-bil dan sebagainya.


Pada suatu hari, setelah sekian lamanya aku cuba mencari pekerjaan yang boleh menampung kehidupan kami sekeluarga, akhirnya aku dimaklumkan dengan satu perkhabaran yang tidak disangkakan. Syukur alhamdulillah dan aku sangat berterima kasih kepada abangku atas bantuannya aku telah mendapat pekerjaan di sebuah syarikat pencucian dengan pendapatan sebanyak RM600 sebulan. Syarikat pencucian ini telah mengambil tender untuk membersih salah satu blok bangunan fakulti di UPM. Aku tahu dengan taraf hidup disini yang tinggi, sememangnya tidak mencukupi namun, aku tetap bersyukur sekurang-kurangnya dapatlah aku menyekolahkan mereka. Aku tidak mahu pembelajaran mereka terabai hanya di sebabkan kesusahan ku ini. Keputusan SPM anak kedua ku telah di umumkan. Alhamdulillah, walaupun mengalami pelbagai tekanan akibat dari kesusahanku namun keputusan yang di perolehi tidaklah begitu merosot dan beliau telah ditawarkan untuk meneruskan pengajian ke Tingkatan 6.


Kini, kehidupanku agak stabil berbanding dahulu, berbekalkan sumber pendapatan yang ada aku dapat membeli sebuah basikal untuk berulang-alik ke tempat kerja. Perasaan malu dengan pandangan masyarakat tidak ku endahkan. Pada aku, nasib manusia tidak sama, mungkin hari ini aku berbasikal ke tempat kerja, mana tahu satu hari nanti aku mampu membeli sebuah motosikal. Aku berdoa siang malam agar permintaanku ini dimakbulkan. Sepanjang aku bekerja di UPM, aku telah di temukan dengan staf-staf jabatan yang baik. Walaupun aku di situ hanya sebagai pencuci, namun mereka tidak pernah memandang rendah terhadap aku. Pernah suatau hari, seorang pegawai di situ, telah menawarkan kerja sambilan kepada ku untuk membantu mengemas rumahnya kerana beliau terlalu sibuk dengan tugasan harian. Lantas, tanpa berfikir panjang aku terus bersetuju menerima tawaran tersebut memandangkan kediamannya tidaklah begitu jauh. Aku sanggup melakukan apa sahaja demi mencari rezeki dan menyara anak-anak yang kian membesar asalkan datang dari sumber yang halal. Semasa aku bekerja di sana, staf-staf jabatan telah memberi dorongan dan sokongan supaya aku mencuba untuk memohon jawatan tetap di UPM. Pada mulanya aku agak keberatan, maklum sahajalah umur aku pada masa itu pun sudah meningkat. Namun, nasihat demi nasihat dari staf-staf jabatan dan abangku sendiri, akhirnya aku bersetuju. Sepanjang aku berusaha dan berikhtiar, aku juga tidak lupa untuk membuat sembahyang hajat dan berdoa agar Allah s.w.t memakbulkan permintaanku ini.


Selama dua tahun aku bekerja dengan syarikat pencucian, akhirnya jawatan yang aku pohon telah berjaya. Aku mendapat tawaran untuk berkhidmat di UPM. Alhamdulillah, aku bersyukur tidak terhingga kerana Allah telah memberi rezeki kepadaku melalui mereka yang telah banyak membantu aku. Setelah aku mendapat pekerjaan yang tetap, aku berjanji pada diriku sendiri untuk meningkatkan kualiti pekerjaanku. Aku tidak mahu mensia-siakan rezeki yang Allah s.w.t turunkan kepadaku. Setiap arahan yang diberikan akan ku lakukan dengan penuh rasa tanggungjawab dan tanpa jemu. Pada aku, selagi aku berdaya akan ku lakukan tugas tanpa perasaan berkira tetapi benarlah kata orang walau dimana atau apa sahaja yang kita lakukan pastinya tidak dapat memuaskan hati dan perasaan orang lain. Aku sedih apabila ada yang mengatakan aku seorang penyibuk dan suka menunjuk-nunjuk dalam melakukan tugasan. Pada mulanya aku kecewa juga, namun apabila difikir dan bermuhasabah diri akhirnya aku kembali tenang.


Setelah bertahun-tahun lamanya menetap disini, kehidupanku kini kembali stabil, walaupun tidaklah semewah mana, namun aku mampu untuk membayar sewa rumah dengan wangku sendiri memandangkan anak sulungku telah menemui jodohnya dan tinggal berasingan. Pada suatu hari, sekali lagi Allah s.w.t memberi rezeki yang aku sendiri tidak pernah mendugakan. Perkhabaran gembira yang menyatakan aku telah mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) adalah saat yang paling manis dalam kehidupanku. Segala kepayahan dan kesusahanku selama ini terubat juga mungkin inilah hikmah Allah s.w.t yang aku tidak ketahui. Namun pekerjaan yang ku lakukan selama ini bukanlah sekadar untuk mendapat APC semata-mata. Jika bukan kerana insan-insan yang banyak membantuku sudah pasti aku tidak berada di tahap ini. Sesungguhnya aku mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada kalian dan jasabaik yang diberikan akan ku kenang sampai akhir hayatku. Aku berdoa semoga Allah s.w.t memberi rezeki dan kebahgiaan kepada kalian. Amin ya Rabbalalamin…


kisah ini telah dibukukan dalam NOTA INSPIRASI terbitan UPM

No comments: